Bra atau coli adalah helaian pakaian dalam wanita untuk memberi sokongan kepada payudara. Ia berupa kain yang mempunyai lengkungan elastik pada bahagian yang digelar cawan atau “cup” malah turut dialas menggunakan span untuk memberikan keselesaan berpanjangan kepada si pemakai.
Zaman pun berubah, pemakaian baju dalam kini telah dipelbagaikan dengan aneka rekaan menonjol yang bisa digayakan selari dengan trend fesyen masa kini. Bralette pula adalah sejenis baju dalam yang nipis tanpa span mahupun sebarang sokongan dawai. Ia lazimnya mempunyai perincian yang lebih artistik serta diperbuat dari material mewah seperti fabrik berenda, satin serta baldu.
Tampak sangat eksklusif, Bralette berupaya memberikan aura feminin seksi kepada si pemakainya secara tidak langsung. Buat anda yang mempunyai saiz payudara yang kecil, pasti menarik untuk anda menggayakannya.
Tidak kurangnya, Bralette telah menjadi item fesyen “must-haves” untuk musim ini! Supaya anda sentiasa mengikut perkembangan trend fesyen yang terkini, ayuh Wanista ajarkan kepada anda, bagaimana anda boleh menjahit dan mencipta Bralette sendiri tanpa memerlukan ongkos yang besar.
Barang yang anda perlukan:
- Jarum peniti
- Masin Jahit
- Gunting Fabrik
- Kancing Bra
- Fabrik nipis pilihan anda
- Benang & Jarum Menjahit (jika anda berupaya menjahit tangan dengan kemas)
- Getah khas berukuran kecil (mempunyai kelebaran 1/2 – 1 inci) untuk dijadikan tali bralette di bahagian bahu
- Getah khas berukuran besar (mempunyai kelebaran 2.5 cm – 1 inci) untuk dijadikan tali elastik keliling badan.
Cara:
#1 Potong kertas pola anda mengikut rajah di atas. (Segi tiga yang mempunyai tirus yang lebih tinggi serta sebelah sisinya lebih melengkung berbanding yang sebelah lagi). Jika saiz payudara anda besar, pastikan anda membuat pola segi tiga yang sedikit lebar.
#2 Hamparkan fabrik renda anda di atas permukaan rata, letakkan kertas pola betul-betul di atas penjuru hujung “scallop” kain renda anda (Jika fabrik renda anda mempunyai bentuk atau rambu-ramba di penghujungnya).
#3 Pastikan kedua-dua bentuk kertas pola anda sama supaya anda dapat hasilkan potongan kain yang jelas dan rapi.
#4 Anda memerlukan 4 keping fabrik berenda berbentuk segi tiga yang telah siap dipotong.
#5 Setelah itu, sambungkan bahagian rata kain menggunakan jarum sebelum dijahit pada bahagian tengahnya.
#6 Jahit menggunakan mesin untuk dapatkan hasil jahitan kemas.
#7 Jahit dengan lurus mengikut keliman yang telah ditentukan menggunakan jarum itu tadi.
#8 Setelah siap, ukur getah dikeliling bahagian rangka badan anda supaya ianya bisa melekap pada tubuh dengan selesa. Jangan terlalu ketat, dan jangan pula terlalu longgar dari saiz rangka badan anda.
#9 Setelah mendapat ukuran yang tepat, anda boleh potong getah tersebut dan jahit kancing bra pada kedua-dua belah penghujungnya.
#10 Setelah selesai, anda boleh mula menggunting sisa fabrik renda anda untuk dijadikan kain yang menutup separuh bahagian perut, dijahit ke atas tali getah yang mengelilingi badan.
#11 Pastikan panjang helaian kain yang akan dijahit ke atas getah itu sama lebar dengan ukuran Bralette yang telah anda jahit di awal tadi.
#12 Jika anda menggunakan kain renda yang mempunyai “scallop”, perincian tersebut harus menghadap ke bawah *rujuk pada gambar.
#13 Pastikan getah diletakkan di tengah-tengah kain supaya anda boleh kelimkan separuh bahagian fabrik di belakang getah tersebut untuk hasil jahitan kemas dan sempurna.
#14 Anda boleh mula menjahit keseluruhan helaian Bralette mengikut ketentuan yang telah dirangka menggunakan jarum peniti.
#15 Setelah siap, sambungkan pula getah yang lebih nipis untuk dijadikan tali bahu.
#16 Gayakan Bralette dengan T-shirt tanpa lengan, kot, jaket mahupun blaus polos yang jarang.
#17 Namun, jika anda seorang yang bertudung, jangan khuatir kerana anda masih boleh memakai Bralette ketika tidur. Yup! Meskipun anda berada di rumah.
Tak salah memakai pakaian dalam yang cantik walaupun untuk dilihat sendiri kan? 🙂
TONTON VIDEO CARA MEMBUAT BRALETTE
Selamat menjahit semuanya!