Jika anda gemarkan bunga, tentu anda suka dengan idea ini!
Sudah menjadi trend masa kini untuk kebanyakkan majlis perkahwinan menyediakan satu ruangan khas yang dihias kreatif untuk para tetamu merakam gambar kenangan.
Tidak dinafikan, ada yang sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk menyewa perkakas serta hiasan photobooth demi melengkapkan keperluan majlis istimewa berkenaan. Namun begitu, anda sebenarnya boleh membuat latar photobooth yang lebih menarik sendiri tahu?
Nah, khas buat pembaca yang dikasihi, di sini Wanista nak berkongsi idea, bagaimana anda bisa membina satu latar yang bercirikan elemen feminin dan romantis menggunakan bunga-bungaan segar!
Apa Yang Anda Perlukan:
- 4 jenis kuntuman bunga pilihan anda
- Gunting bunga
- 3 warna pita washi untuk menampal (washi tape)
Tips: Sila cari pita washi atau apa sahaja pita pelekat yang berwarna untuk gaya dekorasi yang bersahaja, asalkan gamnya cukup kuat untuk menampung berat kutuman bunga ketika dilekat pada dinding.
Nota:
- Buat sedikit kajian berkenaan kedai bunga yang menawarkan variasi bunga yang berkualiti pada kadar harga borong yang murah di sekitar kawasan berdekatan dengan tempat tinggal anda. Manfaatkan penggunaan Google sebaiknya okay?!
- Pergi ke kedai bunga berkenaan beberapa minggu awal sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan anda untuk menempah bunga kegemaran. Sementara stok masih ada!
- Sila tempah 4 jenis bunga yang berlainan, pastikan juga bunga yang anda pilih itu bertangkai.
- Jangan lupa untuk mengambil kira keluasan dinding yang anda ingin jadikan sebagai latar itu. Buat kira-kira berapa kuntum bungakah yang bisa dilekat pada dinding berkenaan secara sekata. Anda tidak perlu ruangan yang terlalu besar untuk membina photobooth ini.
- Sebaik sahaja tempahan bunga telah sampai di rumah atau di lokasi majlis perkahwinan anda, cepat-cepat potong sedikit penghujung tangkai bunga berkenaan secara menyenget, dan rendamkan ia di dalam air sejuk supaya bunga berkenaan kekal segar.
- Ukur dinding supaya anda tahu berapakah jarak ideal yang bunga berkenaan harus dilekatkan pada dinding supaya ia tidak kelihatan senget.
- Anda boleh buat tanda pada dinding menggunakan pensil atau pita supaya kemudian, anda tahu dimanakah sepatutnya bunga dilekatkan.
Cara-Cara:
- Mula daripada bahagian paling atas dinding kosong. Bersihkan permukaan dinding agar bebas daripada sebarang habuk atau kotoran, takut nanti pita tidak akan melekat kuat pada dinding.
- Seterusnya, lekatkan bunga pada dinding menggunakan pita berwarna atau pita washi pilihan anda dengan cara pangkah pada batang kuntuman bunga. Dengan cara tampalan pangkah ini, kedudukan bunga pada dinding akan lebih kuat dan stabil.
- Bunga harus dilekatkan secara menegak dari atas ke bawah. Pastikan penghujung tangkai kutuman tersorok di belakang bunga agar susunan kelihatan rapi.
- Jangan cabut daun pada batang bunga kerana daun itu akan menambah seri pada hiasan dinding itu.
Cantik dan ringkas! Dekorasi ini kelihatan seperti ala hipster pula kan? Nanti kalau penulis kahwin, penulis pun nak gunakan idea latar photobooth yang ini lah! Suka sangat! Sudahlah mudah, tak perlu mengeluarkan belanja yang banyak pula tu.
Kalau susah sangat hendak cari bunga segar, guna bunga plastik pun sudah memadai. Tapi, pastikan ada cari bunga plastik yang kelihatan realistik. Penulis cadangkan supaya anda membeli bunga plastik di SSF Home Deco ataupun di cawangan gedung hiasan rumah Kaison kerana bunga plastik yang dijual di sana lebih realistik seperti bunga sebenar.
Selamat mencuba!