Siapa sangka diskriminasi terhadap wanita yang memakai hijab atau tudung menjadi isu yang semakin panas di Malaysia? Sebelum isu seorang guru mualaf yang diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar di Johor, kita pernah mendengar isu wanita bertudung sukar mendapat kerja kerana memakai tudung dan diarahkan untuk membuka tudung jika ingin bekerja di syarikat mereka.
Isu ini menjadi perdebatan hangat kerana ada yang mengatakan wanita bertudung boleh mencari kerja di tempat yang dibenarkan memakai tudung dan ada pula yang memberi kecaman kerana di negara yang rata-rata rakyatnya beragama Islam kini didiskriminasi kerana tidak dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.
Baru-baru ini menurut laporan yang dikeluarkan oleh MySuara.net, seorang penyanyi wanita bertudung yang berusia 33 tahun, Marinatasha Isnariah Mustapar telah diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas, Sri Hartamas. Beliau sepatutnya menyanyi bersama sebuah band dan diarahkan turun oleh Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong. Oleh kerana itu, beliau terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan membawa turun bersama note stand dan nyata kecewa selepas diaibkan di hadapan lebih kurang seratus tetamu pada insiden jam 8.00 malam tadi.
Menurut Marina lagi, Shahnon telah menemuinya dan meminta untuk mengantinya dengan seorang penyanyi lain yang tidak bertudung dan selepas selesai membuat persembahan, dia telah dimarahi oleh Shannon kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Marina menyanyi dalam keadaan bertudung. Setelah melepaskan kemarahannya, Shannon meninggalkannya bersama Penolong Pengurus Pembangunan syarikat, Jaharudin Abdul Malek untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang muzik dan vokal yang pertama kali menjadi mangsa rasis dan diskriminasi perkauman setelah 12 tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur sebagai satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim. Dia juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40 pagi tadi selepas pulang dari majlis tersebut.