#AWAKKATMANE?
Mungkin ramai sudah tahu mengenai hashtag itu, atau mungkin juga ada yang langsung tidak tahu. Okay, sebenarnya, itulah tajuk lagu terbaru penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah. Lagu ini hasil ciptaan sepenuhnya oleh beliau dan merupakan salah satu single yang ada dalam album terbaru Taufik, iaitu Fique.
Menurut Hanim Mohd Salleh daripada Berita Harian Singapura (29 Oktober 2014), video muzik #AwakKatMane telah mendapat tempat pertama dalam ‘trending’ YouTube Malaysia minggu lalu. Ini sekali gus memberi petanda bahawa Taufik berjaya menembusi pasaran negara jiran selepas menghasilkan empat album solo. Bagi video pilihan tertinggi, pengguna dari seluruh dunia mendapatkan informasi daripada YouTube. Data pencarian informasi ini kemudian dirumuskan oleh YouTube Zeitgest yang kemudian melaporkan hasil ‘pencarian tertinggi” di laman rasminya. Data ini dikumpulkan sepanjang tempoh tujuh hari. Berdasarkan pencarian itu, lagu rap #AwakKatMane oleh Taufik mendapat tempat pertama.
Sehingga kini, video rasmi lagu tersebut telah ditonton melebihi 700,000 pengunjung dan melebihi 7,000 orang memberikan “like” pada lagu tersebut di Youtube.
Ketika dihubungi mengenai pencapaian itu, Taufik berkata beliau bersyukur atas sokongan semua pihak terhadap muziknya. “Memang menakjubkan muzik tidak mengenal sempadan dan saya harap trend #AwakKatMane akan menembusi bahagian lain di dunia. Saya juga tidak melupakan semua yang sudi merakamkan parodi video saya dan menggunakan hashtag #awakkatmane di merata media sosial… ini semua membantu menjadikan lagu ini satu kejayaan.”
Sememangnya, lagu #AwakKatMane ini sedap didengar, muzik dan liriknya juga “catchy” dan satu tarian yang dicipta sendiri oleh Taufik untuk lagu ini telah menjadi kegilaan peminat-peminat beliau sehinggakan ramai yang telah merakamkan parodi mereka melakukan tarian yang Taufik ciptakan itu. Nampaknya, usaha Taufik untuk menarik perhatian ramai menerusi #AwakKatMane telah berjaya! Sungguh luar biasa bakat penyanyi yang merupakan Singapore Idol yang pertama ini.
Untuk mengenali dengan lebih dekat siapa Taufik Batisah dan juga mengetahui perjalanan karier seni beliau, anda boleh layari “Official Fan Club of Taufik Batisah” di http://www.taufikbatisah.net/
Sumber berita: Berita Harian Singapura dan The New Paper Singapura