IKEA hari ini mengumumkan 20 pemenang Peraduan Melukis Mainan Lembut IKEA (IKEA Soft Toys Drawing Competition) yang julung kalinya diadakan di Malaysia. Kesemua penyertaan tersebut kini layak meneruskan pertandingan ke peringkat global yang mana 10 lukisan terbaik dunia akan diterjemahkan kepada rekaan sebenar dan dihasilkan dalam bentuk mainan lembut edisi terhad. Mainan lembut ini akan dijual di gedung-gedung IKEA di seluruh dunia sepanjang tempoh kempen Mainan Lembut IKEA untuk Pendidikan (IKEA Soft Toys for Education) tahun hadapan. Keputusan pertandingan peringkat global akan diumumkan pada Januari 2015.
Para pemenang dipilih daripada lebih 500 penyertaan yang diterima sepanjang tempoh dua minggu peraduan diadakan. Para finalis ditentukan berdasarkan undian awam dan penilaian oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil-wakil dari IKEA, UNICEF dan majalah keibubapaan, Pa & Ma. Penyertaan-penyertaan dinilai berdasarkan tahap kreativiti, keunikan, dan potensi komersial untuk dibangunkan dalam bentuk mainan lembut sebenar.
Peraduan Melukis Mainan Lembut ini diadakan bersempena dengan kempen Mainan Lembut IKEA untuk Pendidikan, suatu inisiatif tahunan global yang memberi sumbangan kepada bantuan pendidikan kanak-kanak menerusi jualan Mainan LembutIKEA. Dana yang dikumpul akan disalurkan menerusi Yayasan IKEA kepada UNICEF dan Save the Children bagi meningkatkan kualiti dan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak di negara-negara sedang membangun.
Sejak kempen ini dimulakan pada tahun 2003, IKEA telah berjaya mengumpul dana sebanyak €67 juta dan menghulur bantuan kepada lebih 11 juta orang kanak-kanak di 46 buah negara. Di peringkat tempatan, sebahagian dana telah disalurkan bagi membolehkan UNICEF membina dan memperlengkapkan sebuah sekolah di Sabah yang mampu memuatkan lebih 900 orang kanak-kanak dari kawasan pedalaman.
Kempen Mainan Lembut IKEA untuk Pendidikan akan terus berlangsung sepanjang musim perayaan Hari Natal yang sinonim sebagai perayaan menghulur hadiah, sehingga 3 Januari 2015. Warga Malaysia masih boleh menghulurkan sumbangan dengan membeli Mainan Lembut IKEA. Setiap mainan lembut yang dijual, Yayasan IKEA akan menderma €1 (kira-kira RM4.25) kepada UNICEF dan Save the Children sebagai usaha meningkatkan kualiti dan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak di negara-negara yang sedang membangun. Sumbangan ini merangkumi semua mainan lembut IKEA, termasuk yang berharga serendah RM2.90.