Tidak dinafikan, kebanyakan rakyat Malaysia suka menikmati makanan tanpa menghiraukan keburukan yang bakal menimpa diri. Asalkan sedap, kita pasti tidak ralat untuk mencubanya. Sampaikan ada yang sanggup merantau jauh ke Pulau Pinang misalnya, bagi menikmati semangkuk asam laksa atau ke pantai timur demi mendapatkan nasi dagang enak.
Melihatkan keadaan masyarakat yang gemar makan, tidak hairanlah jika Malaysia adalah salah sebuah negara di rantau Asia Tenggara yang rata-ratanya mempunyai bilangan pesakit obes yang tinggi, merujuk kepada kaji selidik yang dilakukan oleh National Health and Morbidity Survey 2014 (NHMS).
Ramai yang tidak sedar akan kandungan yang memudaratkan didalam hidangan harian. Malah, itu adalah faktor dan musuh utama yang menjejaskan kesihatan masyarakat sejagat.
Lazimnya, nikmat makanan sihat ditolak mati-mati oleh kebanyakan orang kerana faktor rasanya yang tidak menepati cita rasa. Ianya hambar dan mungkin akan menelan kos belanja yang agak mahal dek kerana bahan-bahan organik dan bermutu yang harus digunakan di dalam penyedian masakan makanan yang sihat.
Walaupun begitu, ada badan yang sentiasa peka dalam menyalurkan kesedaran berkenaan permasalahan obesiti dalam kalangan masyarakat. Kelvin Tan, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia berkata, “Agak sukar untuk menerapkan kesedaran berkenaan diabetik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Rakyat Malaysia begitu ralat untuk mengorbankan hidangan kegemaran mereka. Oleh itu, disini ada berita baik dimana mereka kini berpeluang menikmati makanan kegemaran berupa hidangan yang sihat tanpa perlu menghilangkan rasa kesedapan asli satu-satu masakan.
Baru-baru ini, 9 orang Chef dari bahagian kemudahan Columbia Asia seluruh negara telah menyertai satu cabaran iaitu Columbia Asia Master Chef Challenge 2015. Kesemua Chef telah bekerja rapat dengan pakar pemakanan bagi menghasilkan resepi serta masakan yang sihat, namun dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan rasa asli makanan tersebut.
“Selari dengan misi dan matlamat kempen yang memfokuskan pemakanan sihat bersempena Hari Diabetes Sedunia 2015, kami berasa terpanggil untuk berkongsi bahawa ia sebenarnya mudah untuk memasak makanan ringkas dan sihat di rumah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak, dan yang paling pasti, rasanya sedap”, tambahnya.
Pelbagai hidangan telah disaji kepada tetamu, terdiri daripada para pengamal media yang hadir bagi merasa serta mengadili setiap hidangan yang disediakan para Chef.
“Kebanyakan hidangan boleh menjadi sihat seandainya kita membuat sedikit perubahan seperti menggantikan penggunaan bahan yang tidak bernutrisi dengan ramuan lain yang lebih sihat”, ulas Kong Woan Fei, Pakar Diet Columbia Asia. Sebagai contoh, anda boleh menggantikan penggunaan santan yang mengandungi kolestrol tinggi dengan susu.
Juara keseluruhan bagi pertandingan cabaran Master Chef Columbia Asia Challenge 2015 adalah Chef Fauziah Pakwan Chik dari Columbia Asia Setapak. Menu hidangan yang disediakan adalah nasi goreng yang berasaskan beras perang ala Kerabu bersama roll ayam dan sos percik manakala Chef Ravindran a/l Mathavan dari Colombia Asia Seremban yang menjadi juara pilihan media dengan versi hidangan nasi lemaknya yang tersendiri.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.columbiaasia.com atau lawat laman Facebook rasmi Columbia Asia di www.facebook.com/columbiaasia