Saban hari anda menggunakan pengangkutan awam untuk memenuhi tentatif waktu kerja yang memerlukan anda travel kesana-kemari. Lantas itu juga, dari satu langkah ke satu langkah, anda akan terbau haruman wangian yang datangnya dari orang yang lalu lalang di sekeliling anda. Apa agaknya yang anda fikirkan waktu itu?
Pasti soalan cliché “Amboi, wanginya… Minyak wangi apa yang dia pakai sampai berbatu jauh pun dah boleh terhidu wangiannya?” terlintas di benak fikiran anda kan?
Seperti mengenakan solekan pada wajah, memakai minyak wangi juga ada caranya. Jika anda mentaati cara yang betul, pasti bau haruman anda itu akan berkekalan sepanjang hari. Pernah tak anda terfikir, mengapa minyak wangi anda tidak melekat lama pada badan? Walhal wangian itu bukan calang-calang jenamanya.
Di sini, Wanista nak kongsikan bersama pembaca, bagaimana cara terbaik untuk buat haruman atau bau minyak wangi anda tahan lama pada badan, tanpa perlu menyembur secara berlebihan.
#1 Simpan haruman wangian anda di tempat yang sejuk. Ini kerana kebanyakkan minyak wangi selalunya mengandungi alkohol, oleh itu ia dikhuatiri mudah terbakar. Dalam masa yang sama, sumber haba seperti cahaya matahari secara tidak langsung akan membuatkan haruman anda rosak dan kehilangan bau aslinya.
#2 Bau akan melekat lebih baik pada permukaan kulit yang lembap, jadi semburkan minyak wangi di sekitar nadi anda seperti di pergelangan tangan, di sisi nadi leher, sedikit di belakang telinga dan di pelipat kaki (belakang lutut) jika anda memakai skirt pendek.
#3 Jangan sesekali menenyeh minyak wangi pada kulit atau baju, terutama apabila anda melakukan aplikasi di bahagian nadi pergelangan tangan. Ia mampu menghancurkan molekul aroma, lantas merosakkan kandungan bauan.
#4 Bagi bauan yang lembut seperti EDT, semburkan wangian pada bahagian luar pergelangan tangan dan bukannya di bahagian dalam.
#5 Untuk bauan yang lebih lembut seperti jenis Cologne, semburkan minyak wangi di udara terlebih dahulu, kemudian berjalan melaluinya. Jika anda lebih suka bau yang lebih lembut dan tidak hanya tertumpu pada satu bahagian sahaja, ini adalah kaedah terbaik untuk anda! (sesuai terutamanya buat acara sosial), jadi tak adalah bau anda terlalu menonjol sehingga membuatkan orang lain sakit hidung.
Selamat mencuba!