Wonderful Indonesia Flavours, sebuah rancangan bersiri terbitan asal Asian Food Channel kini kembali untuk musim kedua atas permintaan ramai. Rancangan 5 episod itu akan muncul semula di saluran berkenaan pada penghujung Julai 2016!
Para penonton akan disajikan pelbagai paparan menarik sambil dibawa menjelajah ke lima destinasi terbaharu di Indonesia oleh chef selebriti Indonesia dan pengacara Rinrin Marinka bersama rakan pengacara dari Australia, Chef Tobie Puttock.
Menteri Pelancongan Arief Yahya yang juga merupakan orang utama disebalik Wonderful Indonesia berkata, “Faktor utama dalam pembentukan budaya sesebuah negara berteraskan kepada ramuan dan masakan yang asli. Kami berharap agar dapat berkongsi kisah-kisah unik dan kepelbagaian yang terhasil daripada resepi-resepi asli dari setiap destinasi melalui siri ini. Lebih penting lagi, kami ingin menjemput para penonton untuk datang menjelajah dan mengembara serta merasai sendiri makanan-makanan berkenaan.”
Sepanjang siri lima episod ini, pengacara Chef Rinrin Marinka dan Chef Tobie Puttock akan membawa para penonton bersama dalam sebuah pengembaraan epik bagi melihat dan merasai sendiri citarasa eksotik yang ditawarkan oleh Indonesia. Mereka berdua akan mengembara ke kawasan pedalaman yang indah seperti di Padang hinggalah ke bandaraya sibuk seperti Jakarta. Pengembaraan mereka turut meliputi kawasan seperti pusat kesenian dan kebudayaan Indonesia di Yogyakarta dan pantai yang indah di Lombok. Penonton juga boleh menyaksikan kepetahan Chef Rinrin Marinka berinteraksi dengan penduduk tempatan dalam Bahasa Indonesia dan Inggeris sambil beliau memperkenalkan destinasi dan masakan di sepanjang perjalanan kepada rakan pengacaranya.
Penonton akan dibawa ke lima destinasi baharu yang menakjubkan pada musim kedua, iaitu Bali, Jakarta, Lombok, Yogyakarta dan Padang. Di dalam tayangan perdana bagi musim ini, penonton akan dibawa ke Padang yang terkenal di seluruh dunia dengan Nasi Padang, disamping merasai makanan-makananya yang lain.
Wonderful Indonesia Flavours 2 dipersembahkan oleh Wonderful Indonesia dan akan ditayangkan pada Khamis, 28 Julai pada 9.00 malam di Asian Food Channel Astro saluran 703.