Para pelakon ini merupakan antara pelakon kelas A di Hollywood, tetapi tahukah anda pelakon ini juga merupakan individu yang tidak habis sekolah, ada yang berhenti belajar kerana mengejar kerjaya lakonan, ada juga atas desakan hidup. Siapakah mereka, ini senarainya.
JIM CARREY
Membesar dalam kemiskinan di Ontario, Kanada menyebabkan Carrey dan adik-beradik terpaksa bekerja sebagai penjaga bangunan di sebuah kilang tempatan. Apabila ibu Carrey jatuh sakit, pelakon ini terpaksa berhenti sekolah demi menjaga ibunya.
CHARLIE SHEEN
Sheen bersekolah di Santa Monica High School tetapi kerana gred dan kedatangannya tidak memberangsangkan, dia terus diberhentikan sekolah beberapa minggu sebelum tamat pengajian.
CHRISTINA APPLEGATE
Ibunya merupakan seorang pelakon, bapanya pula seorang pengeluar rekod, sekaligus membuatkan dia ingin mengikuti jejak langkah ibunya menjadi seorang pelakon. Setelah muncul dalam beberapa filem ketika usia awal remaja, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah bagi memberi tumpuan serius pada kerjaya lakonannya.
JOHN TRAVOLTA
Ketika zaman sekolah, dia bukanlah popular mana, rata-rata tidak mengenalinya. Malah, John sudah menunjukkan minat pada tarian dan lakonan sejak kecil lagi, dia juga menghadiri kelas di studio setiap malam. Hal ini menyebabkan dia nekad berhenti belajar di Dwight Morrow High School, New Jersey dan berhijrah ke New York City mengecapi impiannya.
CATHERINE ZETA-JONES
Dilahirkan di Wales, Catherine Zeta-Jones menghadiri Dumbarton House School di Swansea, akhirnya dia berhenti sekolah ketika usia 15 tahun untuk mengejar kerjaya lakonan.
CAMERON DIAZ
Cameroz bersekolah di Long Beach Polytechnic High School, California tetapi pada usia 16 tahun dia berhenti sekolah kerana ingin mengikuti program peragaan oleh Elite Modeling Management. Dari situ, dia mula mengenali dunia lakonan.
NICOLAS CAGE
Nicolas Cage berhenti sekolah dari Beverly Hills High School pads usia 16 tahun kerana ingin teruskan kerjaya lakonan.
HILARY SWANK
Kerana impian dan minat dalam lakonan, pelakon yang bersekolah di California’s South Pasadena High School nekad berhenti dan terus beri tumpuan penuh pada bidang lakonan.
TOM CRUISE
Siapa sangka salah seorang pelakon yang berpengaruh dan terkaya di dunia ini bersekolah hanya sekerat jalan sahaja. Sejak kecil lagi, Tom Cruise menunjukkan minat dalam lakonan dengan mengambil kelas lakonan, ketika mengikuti sekolah tinggi, Tom berhenti belajar dan terus berhijrah ke NYC untuk cuba bakat dalam lakonan.
QUENTIN TARANTINO
Salah seorang produser dan pengarah berbakat di Hollywood ini berhenti sekolah pada usia 16 tahun – Narbonne High School in Harbor City
RYAN GOSLING
Filem Rambo memberi pengaruh yang buruk pada Ryan Gosling, dia mula berkelakuan aneh dengan membawa senjata ke sekolah. Malah, dia selalu menonton filem menyebabkan dia mula berminat untuk menghalusi bidang lakonan. Mengambil keputusan berhenti sekolah di Lester B. Pearson High School in Ontario pada usia 17 tahun untuk beri tumpuan pada lakonan.
ROBERT DOWNEY JR.
Iron Man berhenti sekolah tinggi pada tahun 1982. Sejurus itu, kerjaya lakonannya semakin cemerlang sehingga berjaya menjadi tetamu dalam program televisyen, Saturday Night Live ketika usia baru 20 tahun.
DANIEL RADCLIFFE
Mungkin dalam filem sequel Harry Potter merupakan antara pelajar terhebat dan contoh, tetapi dunia nyata dia tidak habis belajar kerana terlalu sibuk dengan kerjaya lakonannya. Malah, dia pernah memberitahu yang dia antara pelajar tercorot di dalam kelas dan padanya sekolah merupakan sesuatu perkara yang susah.
SETH ROGEN
Nekad berhenti sekolah dan teruskan impian menjadi seorang pelakon. Menurutnya, sejak mendalami bidang lakonan, dia lebih serius dan gembira dengan apa yang dilakukannya.
JUDE LAW
Berhenti sekolah pada usia 17 tahun – lagi setahun untuk tamat sekolah, sejurus itu terus berlakon dalam soap opera tempatan.
NICOLE KIDMAN
Dugaan hidup menyebabkan dia nekad berhenti sekolah. Ibunya menghidap penyakit kanser ketika usianya baru 17 tahun, berhenti sekolah kerana ingin menjaga ibu, terpaksa bekerja sebagai ahli terapi urut untuk menyara kos perubatan ibunya.
AL PACINO
Pelakon hebat ini merupakan antara pelajar tercorot dalam kelas, selalu gagal menyebabkan dia nekad berhenti sekolah. Dari situ mula kelas lakonan sehingga dapat tawaran berlakon filem.
KEANU REEVES
Boleh dikatakan pelakon ini merupakan pelajar bermasalah ketika di alam persekolahan, pernah bersekolah di empat buah sekolah berlainan, sentiasa tukar dan pindah sekolah kerana suasana sekolah yang tidak kena dengan dirinya. Dia juga dikatakan tidak sebulu dengan setiap pengetua sekolah. Lalu, berhenti sekolah kerana tidak mahu berdepan dengan masalah lagi.
JOHNNY DEPP
Di usia 15 tahun, pelakon ini berhenti sekolah tinggi kerana ingin menjadi seorang pemuzik rock. Johnny Depp berserta kumpulannya mencipta kemasyuran dan terus berhijrah ke Los Angeles. Dari situ, dia didedahkan dengan dunia lakonan.
DREW BARRYMORE
Usia 13 tahun lagi, Drew terpaksa menghadiri pemulihan kerana masalah dadah dan pengambilan alkohol.
KRISTEN STEWART
Pelakon ini sudah berlakon sejak kecil lagi, kerana terlalu sibuk dengan jadual lakonan memaksanya membuat homeschooling.